Muaturun File PDF

FAKTA SEBENAR  DI SEBALIK DAKWAAN
DAN FITNAH TERHADAP
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR)

 

Suruhanjaya Pilihanraya

..

Dakwaan 1: SPR telah sengaja membetulkan sempadan kawasan pilihan raya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen bertujuan meramaikan pengundi di satu-satu kawasan bagi membolehkan Barisan Nasional beroleh kemenangan pada PRU Ke-13 nanti

Dakwaan 2: Kawasan mengundi YAB Tan Sri Abd Khalid bin Ibrahim telah dipindahkan secara tidak sah oleh SPR

Dakwaan 3: SPR gagal membersihkan daftar pemilih. Seramai 42,051 pengundi awam ragu masih berada dalam daftar pemilih SPR hingga sekarang

Dakwaan 4: SPR telah mendaftar pemilih yang terdiri daripada warga asing yang telah mendapat taraf warganegara

Dakwaan 5: Masih ramai pemilih berusia lebih 100 tahun berada dalam daftar pemilih

Dakwaan 6: Daftar pemilih SPR kotor kerana mengandungi ramai pemilih yang didaftarkan di satu-satu alamat

Dakwaan 7: Berlaku peningkatan pengundi secara yang mendadak di beberapa kawasan yang diwakili calon pembangkang

Dakwaan 8: SPR sengaja menambah ramai petugas yang akan mengundi secara pos pada PRU Ke-13 nanti

Dakwaan 9: SPR gagal memastikan akses media yang saksama kepada semua pihak semasa berlangsungnya sesuatu pilihan raya

Dakwaan 10: Isu isteri anggota tentera mendaftar sebagai pengundi pos

Dakwaan 11: Isu anggota polis dan pasangan didaftarkan sebagai pengundi pos

Dakwaan 12: Isu Pengundi Hantu

 

Dakwaan 1:
SPR telah sengaja membetulkan sempadan kawasan pilihan raya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen bertujuan meramaikan pengundi di satu-satu kawasan bagi membolehkan Barisan Nasional beroleh kemenangan pada PRU Ke-13 nanti

Dakwaan tersebut merupakan suatu fitnah dan tidak berasas sama sekali. SPR tidak pernah melakukan apa-apa perubahan terhadap sempadan kawasan atau bahagian pilihan raya sama ada DUN atau pun Parlimen kerana urusan berkenaan hanya dapat dilakukan apabila tiba masanya mengikut peruntukan Perkara 113(A) Perlembagaan Persekutuan. SPR telah pun mengeluarkan pengumuman bahawa urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya hanya akan dijalankan apabila tiba masanya selepas PRU-13. SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan perkara tersebut apabila tiba masanya nanti.

Apa yang sebenarnya berlaku sebelum ini mengikut peruntukan kuasa di bawah sub peraturan 25(3) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, melalui kuasa Ketua Pendaftar, ialah tindakan SPR membetulkan Lokaliti yang mengandungi nama-nama pemilih yang telah tersalah letak sebelumnya iaitu semasa proses penetapan kedudukan Lokaliti (sebelum 2004) yang dibuat secara manual. Oleh kerana kedudukan Lokaliti berkenaan telah tersalah letak, maka selaras dengan peruntukan undang-undang SPR perlu membetulkan kedudukan Lokaliti tersebut di dalam bahagian pilihan raya yang sepatutnya pemilih di dalam Lokaliti berkenaan didaftarkan.

SPR menyedari kedudukan beberapa Lokaliti yang tersalah letak di dalam bahagian pilihan raya hanya selepas Sistem EGIS (Electoral Geographical Information System) digunapakai dalam tahun 2004. Melalui peruntukan kuasa yang ada, SPR telah membuat pembetulan kedudukan Lokaliti yang tersalah letak di seluruh negara yang melibatkan jumlah pemilih seramai 19,342 orang. Pemilih-pemilih mengikut Lokaliti-lokaliti berkenaan perlu ditempatkan di dalam kawasan pilihan raya yang sebenarnya seperti yang wujud di lapangan. Perlu ditekankan bahawa pembetulan Lokaliti-lokaliti yang dibuat itu tidak sama sekali melibatkan perubahan kepada mana-mana garis sempadan bahagian pilihan raya sama ada DUN ataupun Parlimen. Sebaliknya dengan pembetulan kedudukan pemilih mengikut Lokaliti yang terlibat maka mereka akan mengundi di dalam bahagian pilihan raya yang betul mengikut kedudukan alamatnya di dalam Daerah Mengundi dan DUN yang sebenarnya.

Selepas tindakan pembetulan Lokaliti berkenaan dibuat, SPR telah memaklumkan secara rasmi melalui surat pemberitahuan yang dialamatkan kepada semua pemimpin parti politik di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan. SPR beranggapan parti-parti politik melalui pemimpin-pemimpin mereka di peringkat Daerah Mengundi dan DUN menyedari tindakan SPR tersebut dan seterusnya memaklumkan kepada pemilih-pemilih yang terlibat di kawasan masing-masing. Tetapi ramai pemilih yang memberi maklumbalas kepada SPR mereka tidak menyedari telah berlaku pembetulan kedudukan nama mereka mengikut Lokaliti di mana mereka didaftarkan. Oleh yang demikian, dalam menghadapi PRU-13 akan datang, SPR akan menulis surat pemberitahuan perkara tersebut kepada semua pemilih yang terlibat di semua kawasan yang berkenaan di seluruh negara.

Dakwaan 2:
Kawasan mengundi YAB Tan Sri Abd Khalid bin Ibrahim telah dipindahkan secara tidak sah oleh SPR

Dakwaan yang mengatakan bahawa kawasan mengundi bagi YAB Tan Sri Abd Khalid bin Ibrahim telah dipindahkan secara tidak sah oleh SPR adalah tidak benar dan tidak berasas. SPR telah memberi penjelasan terperinci kepada Ahli-Ahli Parlimen pada 16 April 2012 berhubung perkara ini. Walaubagaimanapun perkara ini terus diputar belit untuk mengelirukan orang ramai yang tidak faham tentang isu pembetulan kedudukan Lokaliti di dalam sesuatu Daerah Mengundi yang terletak di dalam kawasan DUN dan Parlimen.

Apa yang sebenarnya berlaku di dalam kes yang melibatkan alamat dalam Lokaliti YAB Tan Sri Abd Khalid bin Ibrahim ialah SPR hanya membuat pembetulan kedudukan Lokaliti yang telah tersalah letak di dalam kawasan pilihan raya. Proses ini dijalankan mengikut Peruntukan sub peraturan 25(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih 2002).

YAB Tan Sri Abd Khalid bin Ibrahim telah mendaftar sebagai pemilih pada 1/1/1985 dengan menggunakan alamat Jalan 16/2, Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor. Semasa pendataan borang pendaftaran tersebut, petugas SPR telah meletakkan alamat Lokaliti beliau iaitu Jalan 16/2 di dalam kawasan DUN N.34 Bukit Gasing /Parlimen P.105 Petaling Jaya Selatan iaitu berdasarkan kepada alamat di dalam borang pendaftaran tersebut. Pada masa itu SPR tidak menyedari bahawa di lapangan yang alamat Lokaliti Jalan 16/2 itu adalah sebenarnya terletak di dalam Wilayah Persekutuan di mana Jalan Datuk Abu Bakar merupakan sempadan rasmi antara negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Lokaliti Jalan 16/2 di mana YAB Tan Sri Abd Khalid bin Ibrahim berdaftar sebenarnya berada di dalam kawasan Parlimen P.121 Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan. Apabila sistem EGIS dilaksanakan SPR mula menyedari kesilapan penentuan kedudukan Lokaliti berkenaan. Maka selaras dengan tindakan pembetulan Lokaliti yang sedemikian di kawasan-kawasan lain di seluruh negara, SPR juga membuat pembetulan kedudukan Lokaliti terhadap Lokaliti Jalan 16/2 Seksyen 16, Petaling Jaya. Di atas muka bumi, Lokaliti tersebut sebenarnya terletak di kawasan Parlimen P.121 Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan. Ianya sama sekali tidak melibatkan apa-apa perubahan kepada garis sempadan kawasan pilihan raya sama ada DUN atau pun Parlimen. Bagi mana-mana pihak yang ingin mendapat penjelasan lanjut berhubung dengan perkara tersebut, mereka bolehlah datang ke Ibu Pejabat SPR atau Pejabat SPR Negeri Selangor atau Pejabat SPR Wilayah Persekutuan.

Dakwaan 3:
SPR gagal membersihkan daftar pemilih. Seramai 42,051 pengundi awam ragu masih berada dalam daftar pemilih SPR hingga sekarang

Sebagai langkah yang berterusan untuk membersihkan Daftar Pemilih, SPR telah menghantar Daftar Pemilih Induk (DPI) yang melibatkan kesemua nama 12.5 juta pemilih berdaftar kepada pihak JPN pada bulan Julai 2011 untuk semakan secara menyeluruh bagi tujuan pengesahan dan pembersihan. Pada bulan September 2011, pihak JPN telah memberi maklum balas kepada SPR bahawa dari jumlah 12.5 juta tersebut, terdapat sebanyak 42,051 nama-nama pemilih yang tidak memiliki maklumat yang  jelas  dan sahih.  Ini bermakna nama-nama 42,051 pemilih berdaftar berkenaan ada di dalam rekod di JPN, tetapi masalahnya mereka tidak dapat dihubungi untuk diminta datang mengemaskini status terkini kedudukan mereka kerana ketiadaan alamat yang jelas. Di waktu yang sama mereka juga telah tidak datang ke mana-mana pejabat JPN untuk mengemaskinikan status mereka. Oleh yang demikian, SPR membuat keputusan mengkategorikan 42,051 nama-nama berkenaan sebagai pemilih awam di bawah status yang diragui kesahihannya disebabkan ketiadaan maklumat yang terkini tentang status mereka.

Berikutan itu, sebagai langkah yang betul serta bagi menjamin hak rakyat selaku pemilih berdaftar yang dijamin di bawah Perlembagaan, SPR tidak boleh memotong nama-nama mereka dari daftar pemilih sewenang-wenangnya tanpa pengesahan dari jabatan yang berwajib iaitu JPN. SPR sebaliknya mengambil inisiatif untuk mempamerkan kesemua 42,051 nama berkenaan selama tiga bulan untuk memberi peluang kepada orang ramai khususnya pemilih untuk tampil mengemaskinikan maklumat mereka di JPN dan SPR supaya nama mereka dapat dikemaskini atau dikeluarkan daripada senarai pemilih awam ragu tersebut.

Dalam tempoh pemeran itu juga, SPR telah turut mengedarkan nama-nama berkenaan kepada Ibu Pejabat semua parti politik utama serta  pemimpin-pemimpin politik di peringkat Parlimen dan DUN yang berkenaan di seluruh negara untuk mendapat bantuan dalam usaha mencari pengesahan dan maklum balas berhubung dengan kedudukan alamat dan status terkini pemilih-pemilih yang berkenaan. Bagaimanapun, di sepanjang tempoh tiga bulan pemeran tersebut berlangsung, sambutan yang diterima oleh SPR sama ada dari parti-parti politik atau orang ramai amat dingin. Pada 28 Mac 2012, pihak JPN telah memberi maklum balas kepada SPR bahawa melalui semakan yang terperinci dan berterusan oleh pihak mereka, jumlah pemilih yang diragui itu telah berkurangan kepada 40,803 orang. Ini berikutan terdapat di kalangan mereka yang tampil ke JPN untuk mengemaskini maklumat kad pengenalan mereka manakala yang lain terdapat waris-waris yang tampil dengan membawa bukti kepada JPN mengenai kematian ahli keluarga atau saudara mara mereka.

Undang-undang SPR tidak membenarkan mana-mana nama dalam daftar pemilih dipotong sewenang-wenangnya tanpa pengesahan oleh pihak JPN. Oleh yang demikian, nama 40,803 pemilih awam ragu tersebut perlu terus kekal berada di dalam daftar pemilih bagi menjamin hak mereka yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan. SPR hanya memotong nama-nama mereka daripada daftar pemilih setelah mendapat pengesahan secara rasmi dari pihak berwajib iaitu JPN sama ada mereka telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan, atau hilang kelayakan atas sebab-sebab lain seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, selagi pengesahan muktamad tidak diperolehi dari pihak JPN, kesemua nama 40,803 pemilih berkenaan perlu dikekalkan di dalam Daftar Pemilih Induk.

Dakwaan 4:
SPR telah mendaftar pemilih yang terdiri daripada warga asing yang telah mendapat taraf warganegara

Hanya warganegara Malaysia sahaja yang layak dan berhak untuk menjadi pengundi dalam pilihan raya di negara ini.  Mereka yang bukan warganegara mustahil akan dapat mendaftar sebagai pengundi. Sesiapa sahaja warganegara Malaysia dan berumur 21 tahun dan ke atas yang memohon untuk di daftarkan sebagai pemilih, permohonan mereka akan diproses sewajarnya melalui sistem komputer dan mengikut  tatacara pemerosesan yang ditetapkan di bawah undang-undang. Justeru itu, tidak timbul persoalan tentang siapa atau  apa jua latar belakang seseorang warganegara itu apabila ia memohon untuk menjadi  pemilih kerana yang menjadi asas kelayakan ialah seseorang itu mestilah terdiri daripada warganegara Malaysia dan telah mencapai umur 21 tahun dan ke atas serta memenuhi apa-apa syarat kelayakan lain yang ditetapkan di bawah Perlembagaan.

Dakwaan 5:
Masih ramai pemilih berusia lebih 100 tahun berada dalam daftar pemilih SPR

Pemotongan nama seseorang pemilih berdaftar hanya dapat dibuat atas dua sebab iaitu pertama, pemilih telah meninggal dunia mengikut pengesahan rekod di JPN dan kedua, pengesahan hilang kelayakan sebagai pengundi berdasarkan bukti pengesahan dari jabatan-jabatan yang berwajib. Justeru itu, walaupun umur seseorang pemilih itu telah  melangkaui 100 tahun, undang-undang tidak membolehkan SPR untuk memotong nama mereka sewenang-wenangnya atas anggapan bahawa  mereka mungkin telah meninggal dunia. Jikalau ada mana-mana pihak   yang mengetahui dan dapat membuktikan bahawa terdapat waris mereka yang telah meninggal dunia, SPR berharap mereka tampil ke JPN untuk mengemaskinikan rekod kematian waris berkenaan. Dalam soal pengesahan rekod kematian seseorang warganegara, SPR terpaksa bersandarkan kepada maklumat yang sahih daripada pihak JPN bagi mengelak penipuan atau sebagainya.

Dakwaan 6:
Daftar pemilih SPR kotor kerana mengandungi ramai pemilih yang didaftarkan di satu-satu alamat

Tanggapan umum terhadap kajian MIMOS bahawa terdapat ramai pemilih yang berdaftar secara berkelompok di satu-satu alamat adalah tidak tepat. Apa yang berlaku ialah pihak MIMOS telah tersalah tafsir dengan menganggap pemilih yang mendaftar dalam suatu kawasan Lokaliti yang sama sebagai pendaftaran di satu alamat yang sama. Hakikatnya ialah apa yang dilakukan oleh SPR adalah untuk membolehkan mereka yang mendaftar dapat ditentukan Daerah Mengundi dan Pusat Mengundinya. Untuk itu, SPR menetapkan dasar dengan merangkumkan beberapa alamat pendaftaran tersebut di dalam sebuah Lokaliti. Dalam peta pilihan raya, Lokaliti adalah unit yang terkecil yang mengandungi beberapa alamat, dan kemudiannya melalui beberapa Lokaliti dibentuk menjadi Daerah Mengundi dan daripada beberapa Daerah Mengundi pula terbentuknya bahagian pilihan raya DUN dan seterusnya menjadi bahagian pilihan raya Parlimen.

Sebagai contoh, di Lokaliti Kampung Melayu Majidee di Johor, yang telah dianggap sebagai satu alamat yang mempunyai lebih daripada 100 pemilih, di Lokaliti berkenaan sebenarnya terdapat berpuluh-puluh alamat lengkap dan yang tidak lengkap. Alamat-alamat tersebut kemudiannya disatukan sebagai satu Lokaliti iaitu Lokaliti Kampung Melayu Majidee. Hal ini telah disalah tafsir oleh MIMOS sebagai satu alamat, walhal ia sebenarnya adalah merupakan satu Lokaliti dalam Daerah Mengundi.

 

Dakwaan 7
Berlaku peningkatan pengundi secara yang mendadak di beberapa kawasan yang diwakili calon pembangkang

Langkah SPR secara agresif menjalankan promosi menyeru rakyat mendaftar sebagai pengundi, ditambah pula dengan suasana semasa yang hampir dengan PRU-13 merupakan faktor utama yang menyebabkan pendaftaran pemilih mencatatkan peningkatan yang tinggi sehingga suku tahun keempat tahun 2011. Peningkatan jumlah pendaftaran telah berlaku secara menyeluruh di semua bahagian pilihan raya di seluruh negara. Walaubagaimanapun, terdapat bahagian-bahagian pilihan raya yang mencatat peningkatan yang lebih tinggi daripada yang lain seperti yang berlaku di beberapa negeri dan di beberapa bahagian pilihan raya tertentu. Perkara ini tidak harus dipertikaikan kerana sehingga Jun 2011, masih terdapat sejumlah 3.7 juta warganegara Malaysia yang layak tetapi belum mendaftar sebagai pengundi. Jumlah mereka yang belum mendaftar yang tertinggi mengikut negeri ialah di negeri Selangor diikuti dengan Wilayah Persekutuan, Johor, Perak dan lain-lain. Maka, jika peningkatan pendaftaran yang tinggi berlaku di negeri Selangor, itu adalah sesuatu yang selari dengan fakta di mana seramai 750,000 warga yang masih belum mendaftar sehingga Jun 2011 adalah terdiri daripada warga Selangor.

Di sesetengah bahagian pilihan raya peningkatan jumlah pendaftaran telah berlaku dalam kadar yang tinggi dengan peratusan melebihi 30 peratus berbanding dengan kedudukan bilangan pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (2008). Ini termasuklah kawasan-kawasan seperti P.107 Subang (34%), P.158 Tebrau (34%), P.111 Kota Raja (33%), P.086 Pekan (33%), dan P.032 Gua Musang (30%).

Pertambahan jumlah pendaftaran pengundi ini bukanlah satu perkara yang dirancang oleh SPR bagi tujuan tertentu sepertimana yang didakwa oleh beberapa pihak. Sebaliknya ianya berlaku disebabkan masih terlalu ramai mereka yang layak mendaftar sebagai pemilih di seluruh negara, termasuk Selangor, yang belum mendaftar sebagai pemilih. Ekoran dari promosi pendaftaran yang agresif dan berterusan, mereka mula sedar dan tampil mendaftar secara besar-besaran melalui pejabat-pejabat pos dan penolong-penolong pendaftar yang dilantik oleh SPR di seluruh negara.

Dakwaan 8:
SPR sengaja menambah ramai petugas yang akan mengundi secara pos pada PRU Ke-13 nanti

Sub peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 memperuntukkan kepada mana-mana Pegawai Pilihan Raya yang menjalankan tugas pada hari pengundian boleh memohon untuk mengundi secara pos. Justeru, melalui peruntukan tersebut petugas-petugas SPR dibenarkan membuat permohonan kepada Pegawai Pengurus di kawasan masing-masing untuk mengundi secara pos.

Bagaimanapun, tidak kesemua petugas SPR akan mengundi secara pos. Bagi mana-mana petugas yang bertugas di Pusat Mengundi di mana dia adalah pemilih berdaftar di kawasan berkenaan, petugas tersebut biasanya akan mengundi secara pengundian biasa, sama seperti pemilih awam yang lain. Demikian juga, sekiranya seseorang petugas SPR itu bertugas di sebuah Pusat Mengundi yang berdekatan dengan Pusat Mengundi lain di mana nama beliau berdaftar di kawasan berkenaan, beliau akan diberi kelonggaran untuk pergi mengundi sebagai pengundi biasa di Pusat Mengundi berkenaan.

Adalah menjadi amalan SPR untuk melantik seseorang petugas dari kalangan mereka yang datang dari sesuatu kawasan di mana mereka mendaftar sebagai pemilih. Ini akan membolehkan mereka mengundi sebagai pengundi biasa pada hari pengundian. Bagaimanapun perlu disedari untuk pilihan raya umum, SPR perlu melantik jumlah petugas yang ramai. Justeru itu, amatlah sukar untuk SPR memastikan mereka yang dilantik itu terdiri daripada pemilih di kawasan mereka bertugas.

Dakwaan 9:
SPR gagal memastikan akses media yang saksama kepada semua pihak semasa berlangsungnya sesuatu pilihan raya

Kuasa untuk mengawal media semasa pilihan raya tidak terletak di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab SPR. Apatah lagi bagi media milik swasta yang mempunyai dasar dan pendekatan berbeza berhubung dengan sokongan dan sikap mereka terhadap isu-isu yang berbangkit tentang pilihan raya. Justeru, mereka bebas untuk membuat laporan mengikut selera dan kepentingan mereka. SPR tidak diperuntukkan kuasa bagi mengawal mana-mana media supaya menyediakan akses yang saksama kepada semua pihak yang bertanding dalam pilihan raya. Walaubagaimanapun, untuk PRU-13, SPR akan berbincang dengan pihak yang berkenaan dalam usaha untuk mewujudkan ruang dan akses yang saksama terhadap media awam kepada semua pihak yang bertanding dalam pilihan raya. Selain itu SPR juga akan berbincang dengan beberapa pemilik media swasta utama (media elektronik dan media cetak) untuk mendapatkan kerjasama mereka dalam usaha mewujudkan akses media yang saksama kepada semua parti politik dan calon yang bertanding.

 

Dakwaan 10:
Isu isteri anggota tentera mendaftar sebagai pengundi pos

Peraturan 3 (1)(a) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 menetapkan isteri atau suami kepada anggota angkatan tentera adalah berhak mengundi secara pos. Justeru itu, pertikaian terhadap kedudukan pasangan tentera mengundi secara pos tidak sewajarnya berbangkit.

Untuk PRU-13 akan datang, golongan tersebut yang dikategorikan sebagai pengundi tidak hadir, dan berhak mengundi secara pos, SPR akan memperkenalkan kaedah Sistem Pengundian Awal untuk mereka. Isteri atau suami kepada anggota angkatan tentera akan mengundi awal di Pusat-pusat Mengundi Awal yang akan dibuka dan diuruskan oleh pegawai-pegawai SPR di dalam kem di mana mereka didaftarkan sebagai pengundi.

Bagaimanapun, bagi mereka yang terlibat dengan operasi, mereka boleh memohon untuk mengundi secara pos.

 

Dakwaan 11:
Isu anggota polis dan pasangan didaftarkan sebagai pengundi pos

Mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003, anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) adalah golongan yang layak mengundi secara pos.  Perkara ini disebut dengan jelas di bawah sub peraturan 3(1)(c) undang-undang tersebut. Prosedur memproses permohonan pendaftaran pengundi pos bagi anggota polis di buat secara teliti bagi mengelak berlakunya pendaftaran berganda di kalangan mereka di mana nama seseorang pengundi pos berkenaan tidak akan wujud di dalam senarai pengundi awam.

Seperti juga dengan anggota tentera, anggota polis juga akan mengundi secara pengundian awal pada PRU-13 nanti. Bagaimanapun, bagi mereka yang terlibat dengan tugasan operasi, mereka bolehlah memohon untuk mengundi secara pos.

Justeru itu, pertikaian terhadap kedudukan anggota polis dan pasangan PGA didaftarkan sebagai pengundi pos tidak seharusnya ditimbulkan.

 

Dakwaan 12:
Isu pengundi hantu

Isu “pengundi hantu” yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu telah berkali-kali diperjelaskan oleh SPR sebelum ini bahawa pengundi hantu tidak wujud di dalam pilihan raya di negara ini.  Pada SPR, dakwaan “pengundi hantu” adalah satu tohmahan yang sengaja diadakan oleh pihak-pihak tertentu bermotifkan politik serta bertujuan untuk memburukkan imej SPR di mata umum. Hakikatnya tohmahan tersebut tidak pernah dibuktikan oleh mana-mana pihak samaada di mahkamah atau di luar mahkamah. Dalam sejarah pilihan raya di negara ini, isu pengundi hantu tidak pernah terbukti dalam mana-mana petisyen pilihan raya yang  di failkan di mahkamah selepas pilihan raya.

Semasa pilihan raya, apa yang berlaku ialah terdapat pemilih berdaftar yang telah tidak bermastautin di alamat tempat beliau mendaftar sebagai pemilih. Apabila tiba pilihan raya, pemilih berkenaan balik mengundi di tempat beliau telah mendaftar sebagai pemilih. Oleh yang demikian, pemilih berkenaan adalah seorang pengundi yang sah dari segi undang-undang, bukannya “pengundi hantu” sebagaimana yang sering didakwa oleh pihak yang menuduh SPR sengaja membiarkan nama-nama pengundi berkenaan di kekalkan di dalam daftar pemilih. Walaupun mereka tidak bermastautin di dalam kawasan pilihan raya berkenaan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s